Cerpenku

Bau
   
Selepas selesai urusan kerjaku di Beluran, aku bergegas pulang ke Kota Kinabalu. Ketika aku bertolak dari Beluran, jam sudah menunjukkan pukul 7.15 malam. Sakit hatiku kerana sangkaanku kerja boleh disiapkan awal.
Sepanjang jalan, aku memaki hamun sendirian kerana banyak lori sawit bertali-tali di hadapan.
“ His…. Lori-lori ni tak pandai habis. Hari-hari ada saja.”. Hatiku berkata dengan nada marah.
“ Sekarang jam  7 setengah malam. Jam 10 setengah sampai di Ranau. Mesti jalan dah berkabus ni”. Getus hatiku lagi.
Sepanjang perjalanan, aku mendengar lagu dari cd yang menjadi koleksiku di kereta. Kerana bosan memandu seorang diri, kadang kala aku menyumpah seranah kereta-kereta yang memandu secara berbahaya. Kadang kala juga aku aku tersenyum sendiri mengingat kembali gelagatku yang bercakap seorang diri.
Setelah meninggalkan 10 km Kinabalu National Park, aku mematikan penghawa dingin dan membuka tingkap. Selain daripada untuk menghirup udara sejuk dan segar, ia dapat meringankan enjin kereta memandangkan jalan Kundasang yang merupakan kawasan tinggi.
Ketika sedang fokus memandu, tiba-tiba aku terhidu bau busuk. Namun, bau busuk itu tidak terlalu kuat. Hatiku mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Bulu roma ku berdiri. Aku mula membaca ayat-ayat suci yang terlintas di kepalaku.
“Jam 11 malam. Minta-mintalah jangan ada apa-apa”, kataku selepas memandang jam di dashboard keretaku.
Untuk menyedapkan hati, aku membuang jauh fikiran yang mengarut itu. Aku mematikan cd dan memasang radio Hot FM kegemaranku. Walaupun sepanjang perjalanan aku menikmati bau busuk itu namun hatiku mula tenang mendengar celoteh DJ yang mengendalikan radio.
Tumpuanku memandu hilang apabila kereta 4 wheel drive di depan berhenti mengejut. Jantungku mula berdegup kencang kerana bau busuk yang mengiringi perjalananku semakin kuat. Kulihat di hadapan, banyak kereta yang bersusun menaiki jalan yang berbukit itu. Masing-masing berlumba-lumba cuba memotong sebuah lori yang sarat dengan muatan berada di hadapan.
Hatiku semakin risau dan takut kerana bau busuk itu semakin lama semakin kuat. Setelah berada di belakang lori tersebut, alangkah sakitnya hatiku. Rupa-rupanya bau busuk yang kuhidu sepanjang jalan adalah bau kepingan getah yang belum diproses yang dibawa oleh lori tersebut.
Setelah memotong lori tersebut, aku menutup tingkap dan memasang penghawa dingin sambil tersenyum sendirian……

Pengajaran:   - Positif thingking
                        - Berhati-hati di jalan raya











Penumpangku


Jam 11 malam, Hamid masih lagi berada di dalam teksinya menungggu penumpang. Dia harus kerja lebih masa untuk memperolehi pendapatan lebih memandangkan anaknya bakal masuk universiti awal tahun depan.
            “Kau belum balik lagi, Mid”,  tanya Rosli, rakan teksinya yang parkir di hadapan teksinya.
            “Belum lagi Li. Aku  nak tunggu orang lagi”, jawab Hamid sambil menghisap rokoknya.
            “Aku balik dulu ya. Dah tak ada penumpang malam-malam begini”, kata Rosli lalu bergerak ke teksinya dan berlalu pergi.
            Hamid masih menunggu sambil menghisap rokok dan mendengar lagu-lagu di radio teksinya itu. Hampir sejam menunggu, Hamid berasa bosan. Hamid menghidupkan teksinya sambil merunggut kerana rezekinya kurang pada hari ini. Namun, apabila dia memandang cermin belakang, dia terlihat dua orang wanita sedang menuju ke teksinya. Seorang memakai tudung dan berbaju kurung dan seorang lagi memakai baju t-shirt dan berseluar jeans.
            “Taman Sentosa, Jalan 9”, kata wanita yang betudung.
            “Baik”, jawab Hamid dan mula bergerak.
            Sepanjang jalan, Hamid berbual dengan penumpangnya itu.
            “ Dari mana malam-malam ni dik?”Tanya Hamid memulakan cerita.
            “Kerja, bang. Biasalah kerja kilang ni. Tengah malam baru balik,” jawab perempuan yang bert-shirt.
            “Tak takut balik malam-malam begini?”, tanya Hamid lagi.
            “Tak juga. Lina sudah biasa. Selalunya, Lina ikut bas kilang tapi hari ni ambil OT. Jadi terpaksalah menumpang”. Jawab gadis yang menggelar dirinya Lina.
            Hamid menjeling rakan Lina yang memakai tudung. Kelihatan wanita itu menutup mata seperti sedang tidur. Lebih kurang setengah jam, merekapun sampai ke tempat yang dituju. Setelah keluar dari kereta, wanita bertudung itu mengeluarkan dompetnya.
            “Berapa?”, tanya wanita itu sambil membuka earphone dari sebalik tudungnya lalu memasukkan ipodnya ke dalam beg sandang.
            “Semua 40 ringgit, dik”, kata Hamid memandang wanita bertudung itu.
            “Selalunya saya bayar 30 ringgit encik”, jawab wanita bertudung itu tidak puas hati.
            “Malam-malam begini, saya cas 10 ringgit kalau dua orang penumpang”, jawab Hamid
            “Tapi… Saya seorang saja encik”, jawab wanita itu kehairanan.
            Hamid menoleh di belakang kemudian melihat sekeliling kereta. Memang jelas tiada sesiapa melainkan wanita bertudung itu. Keadaan sekeliling yang terang kerana diterangi lampu jalan juga menguatkan lagi bahawa tiada sesiapa lagi selain mereka berdua.
            Setelah menerima wang RM30, Hamid berlalu dan pulang ke rumah dengan seribu satu persoalan…..
            














JANJI (versi 1)

“Huuu… Penatnya…. Jauh betul perjalanan kita”.
Itulah ayat pertama yang disebut oleh Mimie kepada Sara dan Tina ketika dia sampai di hadapan tangga rumah Jee. Mereka berempat merupakan rakan seasrama di sebuah kolej terkenal di Kota Kinabalu. Mereka berempat baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir di kolej tersebut. Oleh kerana cuti panjang, mereka bertiga membuat keputusan untuk mengikut Jee balik ke kampung halamannya yang terletak di salah satu kawasan pedalaman Sabah untuk beberapa hari sebelum balik ke daerah masing-masing.
Perjalanan mereka mengambil masa dua hari untuk sampai ke rumah Jee. Mereka berempat bertolak dari Kota Kinabalu seawal jam 8 pagi dan tiba di sebuah pekan sekitar jam 2 petang. Kemudian, mereka terpaksa bermalam di pekan itu kerana pengangkutan untuk ke kampung Jee hanya sekali sehari sahaja iaitu pada pukul 10 pagi. Dari pekan tersebut, perjalanannya pula mengambil masa 3 jam dengan bot laju, disambung dengan pacuan empat roda dan perahu.
“Ladies… Naiklah. Sorry ya. Rumah aku ni tak seberapa. Maklumlah, rumah kampung”. Tegur Jee dari pintu rumah.
Setelah bersalaman dengan emak dan kakak ipar Jee, merekapun berehat-rehat di serambi rumah. Jee menghidangkan air Nescafe kepada mereka bertiga.
“Sorry, air ni suam-suam kuku. Nak buat panas, hari dah panas. Nak buat sejuk pula, tak ada peti sejuk”, kata Jee tersenyum.
“Tak apa Jee. Ini pun dah memadai”, balas Sara sambil menuang air tersebut.
“Memang betul apa yang kau katakan kepada kami selama ini. Memang tiada bekalan elektrik dan air di kawasan ni”, kata Mimie sambil menuang air Nescafe itu untuk kali kedua.
“Kau kata ada generator, kenapa tak hidupkan?” Tanya Tina.
“Aku tak pandailah. Bapa aku pun tak ada di rumah”, jawab Jee sambil duduk bersimpuh di hadapan tiga sahabatnya itu.
“Mereka pergi ke mana?” Tanya Mimie sambil mengunyah biskut yang terhidang.
“Pakcikku sakit tenat di kampung sebelah. Semua ahli keluarga kami sedang berkumpul sekarang ni”. Jawab Jee.
Mereka berempat senyap seketika. Masing-masing dengan fikiran sendiri.
“Kamu perasan sesuatu tak”, tiba-tiba Sara bersuara.
“Apa dia?”, Tanya Mimie.
“Dari tadi handphone tak berbunyi”, balas Sara
“Memang tiada line…!!” jerit mereka bertiga.
Jee tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu.


~
Untuk pertama kalinya, Mimie, Tina dan Sara mandi di sungai yang terletak di hadapan rumah Jee. Menjelang Maghrib, mereka sudahpun selesai berpakaian dan makan malam. Selesai makan, mereka berempat menonton televisyen bersama kakak ipar Jee yang sedang menyusukan anaknya yang berusia 3 bulan.
            “Azizah, cepat bersiap. Kita nak ke rumah pakcik sekarang,” kata abang Jee kepadanya yang tiba-tiba muncul dari pintu rumah.
            “Kenapa bang?”, Tanya kakak iparnya namun tiada jawapan dari mulut suaminya itu.
            “Ani di rumah saja. Tak payah ikut. Biar abang, Azizah dan emak saja yang pergi”, arah suaminya.
            Jee bingkas dari tempat duduk lalu masuk ke dalam bilik. Emak Jee mengambil selendang yang tergantung di dinding dekat dengan dapur. Apabila Jee keluar, dia telah mengenakan seluar panjang.
            “Kamu nak ikut?”, Tanya Jee kepada tiga rakannya itu.
            “Tak pa lah, kami temankan Kak Ani di sini saja”, balas Mimie.
            “Aku nak ikut”, balas Sara.
            “Ok.” Jawab Jee.
            “Jam berapa kamu balik”, Tanya Tina dengan risau.
            “Aku janji, nanti aku dan Sara balik  juga”, sambil memegang bahu Tina.

Keadaan rumah itu sunyi sepi. Hanya kedengaran sayup-sayup bunyi generator di belakang rumah dan sekali sekala terdengar anak buah Jee merenggek di bilik sebelah sambil dipujuk oleh ibunya. Keadaan ruang tamu yang luas itu suram kerana hanya diterangi oleh sebiji lampu. Dapur, bilik tidur dan serambi rumah gelap gelita. Kedudukan rumah jiran juga terletak jauh antara satu dengan yang lain menambahkan lagi kesuraman kawasan rumah Jee. Hanya kelihatan bentuk-bentuk pokok yang hitam kerana disirami oleh cahaya bulan yang terang. Suasana itu amat menyeramkan terutama bagi gadis bandar seperti Tina dan Mimie.
            “Menyesal pula aku tak ikut tadi. Jam berapa mereka balik ni?”, kata Mimie sambil menutup novel yang dibacanya.
            Tina berhenti melakar dress di atas kertas. Itulah cita-citanya ingin menjadi Fashion Designer. Sambil membuka cermin matanya, Tina melihat jam di handphone. Jam menunjukkan pukul 11 malam.
            “Yalah, lewat malam dah ni. Boring pula tiada apa yang nak dibuat. Nak call tak dapat. Kak Ani pun mungkin dah tidur. Sunyi saja bilik tu”. Kata Tina.
            “Mata aku dah berat ni. Bantal di bilik tu macam memanggil manggil aku dah. Marilah kita tidur”, balas Mimie.
            Tanpa berkata apa-apa, Tina mengemas kertas-kertas lakarannya. Mereka berdua pun masuk ke bilik.

~




Suasana di dalam bilik tidur itu samar-samar kerana hanya diterangi oleh lampu dari ruang tamu sahaja. Tiba-tiba terdengar bunyi-bunyi bising di bawah rumah.

Krek… Krek… Krek… Krek… Krek…

Mie… Mie…”, bisik Tina.
“Emm…”, jawab Mimie. Juga berbisik.
“Kau dah tidur?”
“Belum”
“Kau dengar”
“Dengar”
“Apa tu?”
“Jangan tegur”

Keadaan bising di bawah rumah itu tiba-tiba hilang namun mereka berdua tidak dapat tidur. Mungkin keadaan bilik yang agak panas. Mungkin juga mereka takut.

“Mungkin kambing bah di bawah rumah tu”, kata Mimie untuk menyedapkan hati mereka berdua.
“Mungkin juga”, balas Tina.

Mereka pun tidur…

Sekali lagi Tina dikejutkan dengan bunyi bising di bawah rumah. Apabila dia membuka mata, keadaan sangat gelap. Tiada lagi kedengaran bunyi generator. Ruang tamu hanya diterangi oleh lampu pelita sahaja. Tina tahu kerana cahayanya berwarna kejingga-jinggaan.
            “Mungkin Kak Ani matikan generator dan pasang pelita di ruang tamu”, bisik hatinya.
            Tina mengambil handphonenya dan melihat jam. Jam 2 pagi. Dia menyuluh muka Mimie menggunakan handphone.
            “Mie… Mie… Bangun”, bisik Tina sambil menggerakkan badan Mimie.
            “Kenapa ni Tina, tidurlah….”, jawab Mimie sambil menggosok-gosok matanya.
            “Ada bunyi bising lagi di bawah rumah ni”, jawab Tina sambil berbisik.

Krek… Krek… Krek… Krek… Krek…
Tok…. Tok…. Tok…. Tok…. Tok….

Mereka berdua diam. Kemudian, kedengaran seperti ada orang bercakap-cakap dengan marah di bawah rumah. Mereka membisu dan mengamati setiap butir kata orang itu namun jelas tidak difahami. Suara tu bergerak ke tangga dan berhenti di situ seolah-olah sedang duduk di tangga rumah. Keadaan masih juga sama seperti tadi. Orang itu seperti marah dan bercakap seorang diri. Tina memberanikan diri menghendap dari celah-celah dinding. Dengan bantuan cahaya bulan, Tina dapat melihat dengan jelas makhluk yang sedang duduk di tangga rumah.
“La.. Jee pula tu. Kenapa pula balik tak bagi salam. Ketuk rumah ka. Ni nak marah-marah pula di bawah rumah”, rungut Tina.
“Mungkin dia dah ketuk tapi kita tak dengar”, jawab Mimie sambil membungkus badannya dengan selimut.
Keadaan pagi di kampung itu sangat sejuk. Mungkin banyak pokok-pokok dan hutan yang belum diterokai. Tina berdiri dan berjalan ke pintu bilik namun dia berrhenti.
“Mie, aku hairan pula. Mana Sara, makcik dan abang Man?”, Tanya Tina sambil melihat wajah Mimie.
“Kau nampak Jee seorang saja?”. Tanya Mimie juga kehairanan.
“Ya”. Jawab Tina.
“Mungkin dia ada hal nak balik. Ataupun dia nak pesan kita apa-apa”, jawab Mimie.
Tanpa menjawab, Tina membuka pintu bilik dan berjalan menuju ke pintu rumah. Belum sempat Tina membuka tombol pintu, tiba-tiba….
“Jangan buka!”. Satu suara keras tapi perlahan terdengar dari bilik Kak Ani. Tina menoleh. Dia lihat Kak Ani menjengukkan kepala dari pintu biliknya. Mimie juga bergegas keluar dari bilik. Mereka bertiga bertentang mata antara satu sama lain.
“Kenapa kak?”, Tanya Tina kehairanan.
“Jangan buka. Mari sini. Tidur dengan kakak di bilik ni”. Jawab Kak Ani.
“Tapi kak, Jee ada di luar tu”. Balas Tina kehairanan.
“Mari sini. Masuk bilik kakak. Itu bukan Jee”, jawab Kak Ani serius.
Mendengar saja ayat ‘itu bukan Jee’, meremang bulu tengkuk Tina. Mimie berlari ke arah Kak Ani. Dengan pantas pula, Tina membuka langkah besar berjalan menuju ke bilik Kak Ani.
Malam itu mereka tak dapat tidur. Anak Kak Ani pun sepertinya tidak lena tidur. Sekejap dia tidur, sekejap dia menangis. Kak Ani pula cuma tidur-tidur ayam. Tina dan Mimie hanya memasang telinga mendengar bunyi-bunyi bising di bawah rumah dengan ketakutan. Memang jelas dia nampak bahawa Jee lah yang duduk di tangga rumah itu. Walaupun keadaan samara-samar tetapi dia kenal benar dengan Jee dari segi bentuk badan, rambut dan pakaian yang dipakainya sebelum dia keluar.

Krek… Krek… Krek… Krek… Krek…
Ermmm….. Ermmm….. Ermmm….. Ermmm…..

Begitulah sepanjang malam bunyi yang mereka dengar. Marah dan merengus. Sekejap di bawah rumah, sekejap di tangga dan sekeliling rumah. Namun, makhluk itu tidak pula naik ke rumah mahupun serambi.
Setelah beberapa jam memejam mata tanpa tidur akhirnya bunyi itu hilang 15 minit sebelum azan Subuh berkumandang. Barulah lega hati mereka. Entah bila mereka akhirnya terlelap….
Mimie membuka matanya. Terasa panas pipinya kerana terkena cahaya matahari yang mencuri-curi masuk dari celah-celah dinding. Dia memusingkan badan. Kelihatan Tina masih lagi tidur. Kak Ani dan anaknya tidak berada di situ. Mimie mengejutkan Tina. Dalam keadaan yang masih mengantuk, Tina bangun dan duduk sambil menguap dan melihat handphonenya.
“Pukul 9 pagi. Dah lewat ni. Kenapa tak kejutkan aku awal-awal?”, kata Tina kepada Mimie sambil mengeliat.
“Aku pun baru bangun”, jawab Mimie sambil melipat selimut dan menyusun bantal.
“Mie, kau ingat tak semalam? Apa benda tu ya? Bising dan menakutkan”, Tanya Tina.
“Entahlah Tina. Aku pun tak tahu. Yang aku terbayang ialah Jee yang sedang marah-marah di bawah rumah tu. Tapi apabila Kak Ani kata itu bukan Jee, mungkin itu jelmaan Jee”, jawab Mimie sambil bangun dan membuka tingkap bilik.
Mereka berdua keluar bilik dan menuju ke bilik Jee namun tiada sesiapa di situ. Tiba-tiba mereka berdua terdengar bunyi orang berbual-bual di dapur. Mereka menuju ke situ.
“Hai anak dara. Baru bangun ker?”, perli Sara dengan gurauan.
“Selamat pagi semua”, kata Tina apabila dia ternampak semua orang berada di dapur sambil bersarapan.
“Duduklah nak. Minum. Ada pisang goreng makcik kamu buat ni”, pelawa Pak Hamid, bapa Jee.
“Tak apalah bangun lewat. Makcik sudah dengar cerita apa yang berlaku semalam. Kak Ani dah ceritakan kepada kami semua”. Kata emak Jee sambil membawa pisang goreng yang baru sahaja diangkat dari kuali.
“Oh, yakah. Itulah pasal. Kami semalam tak dapat tidur. Bising sangat”, jawab Tina sambil tersenyum cuba untuk menyembunyikan rasa keliru tentang kejadian semalam.
“Itulah Borou”. Kata bapa Jee kepada kami bertiga.
Tina, Mimie dan Sara melihat Pak Hamid dengan seribu tanda tanya. Jee hanya mendiamkan diri sahaja seolah-olah dia sudah tahu apa yang dimaksudkan oleh bapanya. Oleh kerana melihat kekeliruan di wajah sahabat anaknya itu, Pak Hamidpun memulakan cerita.
“Erm… Mungkin kamu tidak tahu apa itu Borau kan? Maklumlah, kamu bukan orang sini. Kalau orang di daerah sini memang tau apa benda tu”. Jelas Pak Hamid.
Tina, Mime dan Sara mendiamkan diri. Mereka menanti setiap kata-kata yang akan diucapkan oleh Pakcik Hamid lebih-lebih lagi Tina dan Mimie yang mengalaminya sendiri.
“Borou ni sejenis hantu ataupun jin kafir. Itupun pakcik tak pastilah mana satu tetapi yang pastinya ia bukanlah daripada kalangan manusia. Ia akan datang ke rumah orang yang berjanji tapi tidak ditunaikan”, jelas Pak Hamid.
“Apa maksudnya tu pakcik?” Tanya Tina tidak faham.
“Begini. Contohnya makcik kamu ni nak jalan ke sesuatu tempat dan berjanji dengan pakcik bahawa dia akan balik tetapi makcik kamu ni tak balik; Borou akan menjelma menjadi makcik kamu dan akan pulang ke sini”, terang Pakcik Hamid bersugguh-sungguh.
Meremang bulu tenguk Tina mendengar penjelasan Pakcik Hamid. Jadi yang dilihatnya semalam adalah hantu. Lalu Tina teringat semula janji Jee yang dia akan pulang ke rumah. Tina menjeling Jee.
“Sorry…”, kata Jee sambil tersengih seolah-olah meminta maaf.
“Jadi, kalau Borou tu datang, apalah dia buat pakcik?, tanya Mimie pula.
“Menurut cerita orang-orang tua, Borou akan makan manusia yang berada di dalam rumah itu.”, kata Pak Hamid sambil menghembuskan asap rokoknya.
“Eeee.. Menakutkan”, kata Sara sambil memegang tangan Jee.
“Tapi kalau betul la Borou tu datang, kenapa Borou tu tak naik rumah semalam pakcik? Ia berlegar-legar di bawah rumah saja”, tanya Tina kehairanan.
“Sebab ada satu syarat saja Borou akan naik ke rumah. Dalam rumah tu mesti semua perempuan. Kalau ada lelaki, dia takkan naik sebab dia takut dengan orang lelaki”, pintas Abang Man yang dari tadi duduk membisu di pintu dapur.
“Bukankah kita semalam semua perempuan?” Kata Mimie sambil memandang Kak Ani dan Tina. Tina menganggukkan kepala tanda setuju.
“Kamu jangan lupa, cucu pakcik tu lelaki”, kata Pak Hamid sambil tersenyum.
“Biarpun dia masih 3 bulan, dia tetap lelaki. Kan syaratnya Borau akan naik rumah kalau semua orang dalam rumah itu adalah perempuan”, jelas Abang Man.
Dengan pantas Tina mencium pipi anak buah Jee yang gebu itu.
“Dalam zaman sekarang, setakat ni tak pernah pula makcik dengar ada orang kena makan oleh si Borou tu”, sampuk emak Jee.
“Tak tahu pula zaman dulu-dulu”, kata Kak Ani pula sambil tersenyum.

Tina, Mimie dan Sara menghabiskan masa selama seminggu di kampung. Banyak pengalaman dan pengajaran yang mereka perolehi semasa berada di sana.


Pengajaran: Tepati janji!